JANUARI 2024

Pelabuhan Bintulu Diserah Semula Kepada Sarawak Jun Ini


KUCHING: Kesepakatan dicapai bagi memuktamadkan penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak pada Jun depan. 

Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Persekutuan - Negeri yang  diadakan di sini, hari ini.

Mesyuarat ini dipengerusikan bersama oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II dan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dengan Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook.

Susulan itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pemansuhan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu, 1981 pada Sesi Persidangan Parlimen 2024. 

Bagi memastikan operasi Pelabuhan Bintulu tidak terkesan dan terganggu oleh proses penukaran status, Kerajaan Sarawak akan mewujudkan Lembaga Pelabuhan Bintulu (Sarawak) di bawah Ordinan Lembaga-Lembaga Pelabuhan, 1961.

Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani Februari ini bagi merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak.

Sumber dari : Jiwa Bakti